PUTRAJAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah jauh tersasar apabila menganggap pemberian wang kepada pengundi sebelum dan semasa pilihan raya sebagai ‘sedekah’.  

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebaliknya wang yang diberi kepada pengundi dalam tempoh rasmi berkempen adalah satu sogokan. 

Beliau menegaskan, sogokan dengan wang kepada pengundi adalah perbuatan ‘membeli undi’ dan itu adalah rasuah semasa pilihan raya dan ia menyalahi Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Wan Ahmad pada masa sama mengingatkan mana-mana parti politik sama ada Pas atau kumpulan atau individu boleh ‘bersedekah’ kepada anggota masyarakat pada bila-bila masa di luar musim pilihan raya. 

“Apabila memberi wang kepada pengundi sebelum atau semasa pilihan raya, itu boleh ditafsir sebagai sogokan dan perbuatan rasuah mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya. 

“Saya syorkan jika ada mana-mana pihak terkilan melihat perkara-perkara sogokan wang untuk membeli undi rakyat dalam pilihan raya, maka kumpul bukti-bukti dan laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya di sini semalam.

Berdasarkan Seksyen 10, akta berkenaan, seseorang itu disifatkan bersalah atas kesalahan menyogok apabila sebelum atau semasa sesuatu pilihan raya dengan sendiri atas melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberikan atau bersetuju untuk memberikan, atau menawarkan apa-apa wang atau balasan bernilai kepada mana-mana pemilih atau pengundi.

Ia bagi mendorong mereka supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut itu dalam mana-mana pilihan raya.

Selain itu terdapat  lapan sub-seksyen tambahan lain yang setiap satu memberi penjelasan setiap jenis penyogokan dan perbuatan rasuah sebelum dan semasa sesuatu pilihan raya.

Wan Ahmad berkata, badan-badan penguat kuasa yang berkaitan tidak boleh memandang remeh isu ini dan apa sahaja laporan berkaitan rasuah atau sogokan membeli undi perlu dibuka siasatan dan dibawa ke mahkamah.

Kata beliau, mereka yang terlibat perlu menerima hukuman dan jika terbukti bersalah, mahkamah boleh mengisytiharkan kerusi terbabit yang dimenangi melalui ‘sogokan wang’ dan perbuatan rasuah menjadi kosong.

“Tugas dan tanggungjawab pihak-pihak berwajib (SPRM, SPR) untuk bersama menjalankan siasatan. Jika laporan dibuat kepada polis, juga perlu buka kertas siasatan.

“Sekarang Hadi sendiri sudah mengaku ejen-ejen Pas telah beri ‘sedekah’ sogokan wang untuk pengundi mengundi calon Pas/Perikatan Nasional (PN). Barisan Nasional (BN) Terengganu juga sudah buat laporan atau petisyen perkara berkenaan. Mahkamah berkuasa mengistiharkan kerusi itu kosong kalau terbukti rasuah sogokan wang kepada pengundi,” katanya.

Wan Ahmad berkata, sudah sampai masanya parti-parti politik, pemimpin-pemimpin, pengundi atau rakyat amnya faham perbuatan sogokan adalah satu kesalahan dan perlu menghormati Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. 

Abdul Hadi sebelum ini mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah dan menyifatkan pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon Pas.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU15. – UTUSAN

The post Abdul Hadi tersasar, beri wang kepada pengundi satu sogokan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *