GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk memperkasakan usaha memberi impak kepada komuniti melalui usaha-usaha yang dilakukannya.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamad berkata, USM perlu meneruskan agenda Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada 2008 dengan berfokuskan kepada membantu komuniti melalui pelbagai usaha yang dibuat termasuk penyelidikan dan inovasi.

“USM akan melihat inisiatif-inisiatif yang dilakukan untuk membantu pembangunan negara dan melakukan perubahan sosio-ekonomi komuniti di samping agenda-agenda lain yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena pelantikannya sebagai Naib Canselor USM baharu di sini semalam.

Abdul Rahman menggantikan Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang menjadi Naib Canselor pada Oktober 2019 sehingga hujung tahun lalu.

Jelas beliau, usaha yang dibuat lebih berfokus kepada inovasi sosial dengan penyelidikan berteraskan kepada keperluan komuniti untuk membolehkan mereka mendapat impak daripada usaha yang dibuat.

Menurut beliau, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan sehingga mencapai peratusan penuh melalui pendedahan pelajar kepada industri dan memenuhi keperluan bakal majikan masa hadapan.

“Hal ini termasuklah menyediakan peluang latihan dan ‘internship’ setahun di industri terutamanya dalam kalangan pelajar kejuruteraan atau mengadakan projek yang panjang dengan industri untuk mendapat impak yang tinggi.

“Mereka iaitu pelajar perlu didedahkan kepada usaha melangkaui bilik kuliah untuk tujuan tersebut,” kata beliau.

Menurut Abdul Rahman, USM akan lebih memberi perhatian kepada libat sama dengan semua pihak yang berkepentingan dengan universiti.

“Melalui hubungan rapat ini kita berupaya untuk merealisasikan setiap usaha yang dibuat sama ada dalam kalangan komuniti dalam dan luar universiti dengan memberi impak yang baik kepada masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN

The post Abdul Rahman fokus beri impak universiti kepada komuniti appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *