KOTA BELUD: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyimpan hasrat untuk membangunkan sebuah bandar baharu jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, bandar baharu Kota Belud itu perlu diwujudkan berhampiran kawasan Politeknik yang akan dibangunkan tidak lama lagi di kawasan Kampung Kesapang, Tempasuk.

“Saya mahu gunakan kekuatan Politeknik itu akan ada beberapa ribu pelajar di sana jadi, kita boleh membina bandar baharu yang akan menempatkan 150 buah premis kedai baharu.

“Kita jangka akan ada 5,000 orang pelajar akan berada di situ jadi, bandar baharu itu adalah satu perkara yang harus kita buat selepas pembinaan politeknik tersebut,” katanya selepas perjumpaan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Kampung Melangkap hari ini.

Abdul Rahman berkata, pembinaan bandar baharu itu bukan hanya mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi juga, akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia tempatan.

Jelas beliau, sekiranya setiap 150 kedai memerlukan 10 orang pekerja maka, pembinaan bandar baharu itu akan mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan.

Mengulas lanjut katanya, beliau percaya hasrat membangunkan bandar baharu itu akan terlaksana apabila beliau diberi mandat pada pilihan raya kali ini.

Menurutnya, beliau tidak pernah ditolak di Parlimen Kota Belud cuma, beliau hanya dipindahkan tanpa rela hati di Parlimen Sepanggar pada PRU lalu.

“Di Kota Belud tidak pernah (ditolak) tapi, saya tengok kemana saya pergi pun sambutan begitu baik.

“Rakyat di sini mahukan kestabilan, kemakmuran dan masa hadapan yang baik. Jadi, kita tawarkan diri (bertanding) bukan dengan tangan kosong, kita ada idea dan perancangan.

“Jadi, saya cukup yakin Barisan Nasional akan menang pada PRU kali ini,” katanya.

Memasuki hari kesepuluh berkempen, keadaan kesihatan Abdul Rahman sedikit terjejas dan suaranya mula serak setelah berkempen dalam keadaan hujan semalam.

Beliau sempat bergurau akan meneruskan kempen menggunakan bahasa isyarat sekiranya perlu.

“Harap esok suara saya bertambah baik sebab semalam hujan lebat jadi, saya kena berteriak semasa berucap. Ramai orang berada di hadapan saya dan saya tidak mahu kecewakan mereka jadi, saya tetap berceramah biarpun bunyi terlalu kuat,” katanya.- UTUSAN

The post Abdul Rahman mahu bangunkan bandar baharu Kota Belud appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *