PORT DICKSON: Seorang lelaki  maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan dua buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, di sini petang semalam.

Faizee Azmee, 47, yang lebih dikenali dengan nama Acik Mael dalam kalangan penduduk di negeri ini mengalami cedera parah di kepala namun dilaporkan meninggal dunia pada pukul 8.38 malam selepas mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson.

Acik Mael sering memuat naik video pendek di Facebook dan popular dengan tagline ‘On Tak On’.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan pada pukul 4.57 petang itu melibatkan sebuah motosikal jenis C100 ditunggang mangsa dan masing-masing sebuah kereta Perodua Bezza serta Perodua Aruz.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu kereta Perodua Aruz dipandu seorang anggota tentera lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di Kem Garison, Si Rusa.

“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika Perodua Aruz itu bergerak terus tiba-tiba sebuah kereta Perodua Bezza dipandu anggota tentera wanita dan sebuah motosikal ditunggang mangsa keluar dari simpang arah Telok Kemang.

“Pemandu kereta Perodua Aruz tidak sempat menekan brek lalu melanggar bahagian kanan motosikal menyebabkan mangsa melambung, kemudian terjatuh di bahagian bampar kereta Perodua Bezza sebelum terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Aidi, kemalangan mengakibatkan Faizee mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, pada pukul 8.38 malam pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

 

The post Acik Mael maut kemalangan di PD appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *