KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedia membuktikan keabsahan sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah sekiranya perlu berbuat demikian.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Hajiji telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri yang ada sekarang. Ia termasuk kesemua tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Beliau berkata demikian susulan timbul dakwaan ada pihak tertentu telah memperoleh sokongan untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Adalah difahamkan bahawa ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa telah memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuhkan sebuah kerajaan kegeri yang baharu.

“Suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dakwaan mengenai gerakan menubuhkan kerajaan baharu di Sabah ditimbulkan beberapa kali sejak pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengumumkan keluar daripada parti berkenaan pada 10 Disember lalu dan kekal sebagai ahli GRS.

Ketika ini, blok kerajaan yang dianggotai GRS dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri masih berada dalam kedudukan selesa dengan 53 kerusi daripada 79 kerusi DUN Sabah, termasuk enam ADUN Dilantik serta ADUN yang mesra kepada kerajaan.

Blok pembangkang pula hanya mempunyai 26 kerusi namun, tujuh pemimpin PH Sabah telah menyatakan sokongan terhadap Hajiji untuk terus mentadbir Sabah sehingga habis penggal. – UTUSAN

The post Ada gerakan ingin tubuh kerajaan baharu di Sabah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *