PETALING JAYA: Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan mendedahkan tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan khidmat jurulatih tempatan sebagai boneka bagi mengendalikan skuad ma­sing-masing pada musim 2023.

Sathianathan menyifatkan mereka sebagai boneka kerana sanggup ‘menjual lesen’ dimiliki dengan mendaftar sebagai pe­ngendali pasukan namun, hakikatnya skuad itu dikendalikan oleh individu lain yang tidak memiliki lesen Pro-A se­perti yang disyaratkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Menurut Sathianathan, situa­si sama turut berlaku membabitkan Liga M3 apabila terdapat jurulatih tempatan yang bertindak menjual lesen mereka bagi membolehkan pasukan tertentu melantik pengendali asing sekali gus melanggar garis panduan ditetapkan Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Tegas Sathianathan, tiga pa­sukan itu masing-masing membabitkan dua daripada Liga M3, manakala satu lagi beraksi di Liga Super.

“PJBM sudah mengingatkan jurulatih tempatan supaya tidak meletakkan harga diri terlalu murah dengan menjual lesen mereka untuk dimanipulasikan pihak lain.

“Seperti yang kita terima laporan bahawa ada jurulatih tempatan menerima tawaran kelab tertentu sebagai ketua jurulatih namun sebaliknya berlaku apabila pengendali asing memainkan peranan itu,” katanya.

“Janganlah pengendali tempatan menjadi boneka apabila tugasan seperti latihan dan susunan pemain dilakukan jurulatih asing sekali gus melanggar syarat ditetapkan AFL, katanya ketika ditemui pada Kongres Tahunan PJBM 2022 bagi penggal 2018-2022 semalam.

Mengulas tindakan yang boleh diambil oleh PJBM selaku persatuan yang menjaga kebajikan dan keperluan jurulatih tempatan, Sathianathan menjelaskan situasi ini perlu membabitkan pengurusan dan jurulatih pasukan itu sendiri.

“PJBM memang ada menerima laporan namun, tidak boleh mengambil tindakan. Situasi ini, saya salahkan kedua-dua pihak iaitu pengurusan pasukan dan jurulatih itu,” katanya.

Dalam pada itu, Sathianathan turut menasihatkan jurulatih tempatan supaya tidak termakan tawaran kelab untuk melantik mereka sebagai pengendali boneka pada musim depan.

“Perkara ini harus ditangani segera supaya tidak menjadi ikutan pasukan lain sehingga menjejaskan kualiti bola sepak tanah air dan tidak sewenang-wenangnya menjual lesen mereka untuk menjadi pengendali boneka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

The post Ada jurulatih tempatan jual lesen, jadi boneka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *