PETALING JAYA: Ketika seluruh negara menanti penuh debar pelantikan Perdana Menteri Ke-10, ada pihak tidak bertanggungjawab menyuntik sentimen agama dan bangsa demi kepentingan politik.

Ahli Parlimen Titiwangsa dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sikap itu tidak sepatutnya ada kerana merosakkan keharmonian negara berbilang kaum dan agama.

“Adalah sangat mendukacitakan, ketika perbincangan isu penubuhan kerajaan, ada pihak membelakangkan prinsip penubuhan negara ini dengan menggunakan isu agama dan bangsa demi kepentingan politik. Pemikiran sempit dan jumud ini tidak sepatutnya ada dalam negara yang sudah merdeka 65 tahun.

“BN sejak diwujudkan sentiasa menghormati kepelbagaian kaum dan agama yang diamalkan di negara ini. Malah semasa pemerintahan BN selama 61 tahun negara ditadbir berdasarkan pelbagai kaum, agama dan bangsa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Johari berkata, kepelbagaian kaum yang dimiliki BN adalah aset yang sangat berharga, sehinggakan ekonomi negara dapat dibangunkan dengan begitu baik semasa zaman BN memerintah.

“Di bawah pemerintahan BN, negara telah beralih daripada sebuah negara pertanian yang mundur sehingga menjadi antara ekonomi terbesar di antara negara ASEAN.

“Ini kerana BN sentiasa melihat pembabitan kepelbagaian kaum adalah salah satu faktor penting menentukan kejayaan negara ini. Negara ini berjaya mencapai tahap kestabilan politik yang tinggi kerana kita menghormati semua kaum dan sanggup bekerjasama tanpa mengira bangsa, agama, adat resam dan perbezaan sosio ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, kebijaksanaan BN memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan pembangkang ketika itu, Pakatan Harapan (PH) dan DAP menyaksikan negara dapat ditadbir selama 14 bulan tanpa sebarang masalah.

“Sejarah PRU12, Kerajaan BN di Selangor hilang kuasa apabila BN hanya ada 20 kerusi, Pas 15 kerusi dan PH 21 kerusi.

“Manakala di Perak perkara sama berlaku dengan BN 28 kerusi, Pas eam kerusi dan PH 25 kerusi. Tiada parti yg mendapat majoriti tetapi Pas memilih untuk bekerjasama dengan PH. BN pada masa itu menerima dengan hati terbuka. Sebab kita percaya kepada konsep kongsi kuasa berbagai kaum,” katanya. – UTUSAN

The post Ada pihak suntik elemen kaum, agama appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *