KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara yang menghuni ranking ke-83 dunia, Muhammad Addeen Idrakie Bakhtiar terus melakar sejarah termanis dalam kariernya dan hari ini, dia sekali lagi mencipta kejutan menyingkirkan pemain No. 19 dunia, Raphael Kandra pada pusingan kedua Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Addeen yang berasal dari Selangor itu menundukkan wakil Jerman, Kandra dalam pertarungan sengit lima set 4-11, 11-7, 13-11, 9-11, 11-8 dalam masa 66 minit dan sekali gus, melayakkannya menempah slot ke suku akhir, esok.

Semalam, pemain berusia 28 tahun itu menewaskan bekas jaguh No. 3 dunia, Omar Mosaad dari Mesir yang mendapat jolokan ‘Hammer of Thor’ 14-12, 11-5, 11-13, 11-7.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir, Addeen berkata, dia turun ke gelanggang, hari ini, tanpa sebarang tekanan.

“Saya bermain seperti biasa, penyokong yang datang menyaksikan perlawanan memberi motivasi kepada saya untuk terus berjuang menentang Kandra,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Addeen, kejayaannya menundukkan pemain pilihan buat kali kedua berturut-turut tidak meletakkan dirinya sebagai ‘giant killer’.

“Saya tidak melihat diri sebagai giant killer, cuma kemenangan saya ini banyak dibantu oleh sokongan penyokong yang membantu meningkatkan motivasi saya,” ujarnya.

Pada peringkat lapan terbaik, Addeen dijangka berdepan satu lagi laluan getir apabila dia akan turun beraksi menentang pilihan pertama dari Mesir, Tarek Momen yang juga merupakan jaguh No. 7 dunia.

Pemenang Terbuka Malaysia pada 2012 itu mengalahkan rakan senegaranya, Yahya Elnawasany 6-11, 11-3, 11-6, 11-1.

Turut mengiringi Addeen yang mara ke suku akhir buat kali pertama dalam kariernya pada Terbuka Malaysia ialah dua pemain wanita negara, Aifa Azman dan Rachel Arnold yang menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Aifa mengalahkan rakan senegara, Noor Ainaa Amani Ampandi 11-6, 11-4, 11-8 dalam masa 21 minit, manakala, Rachel turut mara ke peringkat lapan terbaik selepas mengetepikan Grace Gear dari England 10-12, 12-10, 11-7, 11-9.

Pemain berusia 21 tahun yang berasal dari Kedah, Aifa akan bertemu pilihan kedua, Nele Gilis dari Belgium, sementara, Arnold akan beraksi menentang wakil Mesir, Nadine Shahin. – UTUSAN ONLINE

The post Addeen cipta kejutan mara ke suku akhir Terbuka Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *