PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan ketua jurulatih baharu, Estaban Solari bagi menggantikan Hector Bidoglio yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal JDT.

Pengumuman itu dilakukan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman rasmi Johor Southern Tigers (JST) sebentar tadi yang disiarkan secara langsung.

“Saya secara peribadi dah lama mengikutinya secara dekat kerana saya sudah mengenalinya selama beberapa tahun dan kami dah lama komunikasi untuk beberapa tahun.

“Beliau sekarang berada dalam pasukan B-23 tahun Argentina bersama Javier Mascherano dan juga sudah ditawarkan ke River Plate, ditawarkan juga ke pasukan pembangunan Barcelona.

“Tetapi saya dapat yakinkan beliau untuk bersama-sama dengan saya bagi teruskan pembangunan dan projek bola sepak JDT.

“Iaitu Estaban Solari, adik kepada Santiago Solari yang kini berada di Real Madrid. Jadi beliau akan ambil selaku ketua jurulatih kelab bola sepak JDT, dengan skuad utama. Itu adalah perubahan yang kami akan lakukan pada 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Alistair Edwards yang sebelum ini merupakan Pengarah Teknikal JDT diberi peranan lebih besar selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab.

Perubahan sistem kejurulatihan skuad Harimau Selatan ini bakal memberi nafas baharu buat JDT dan mereka dijangka akan terus mendominasi Liga M pada musim depan.

Musim ini JDT menyapu bersih semua trofi liga domestik iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super yang dipertahankan buat tahun kesembilan berturut-turut.-UTUSAN

The post Adik bekas jurulatih Real Madrid sertai JDT appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *