SEREMBAN: Persoalan siapakah calon Barisan Nasional (BN) di dua kerusi Parlimen di Negeri Sembilan iaitu Jempol dan Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akhirnya terjawab hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan dipilih untuk mewakili BN di kerusi Kuala Pilah manakala ADUN Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli dicalonkan bagi kerusi Parlimen Jempol.

Kedua-dua mereka bersama lima calon BN yang lain menerima watikah pencalonan masing-masing yang disampaikan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis yang diadakan di Wisma UMNO di sini hari ini.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah dan Jempol menimbulkan persoalan selepas ia tidak disebut oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN bagi PRU15 yang diadakan di ibu negara kelmarin.

Sementara itu, Shamsulkahar ketika ditemui berkata, walaupun berlaku sedikit kemelut dalam isu pemilihan calon di Parlimen itu, beliau yakin jentera BN akan terus berusaha memastikan Jempol kekal dimenangi oleh BN.

“Saya sudah terlibat di Parlimen Jempol sejak 1985, biasalah sebelum penamaan calon macam-macam yang berlaku, tidak dapat dielak.

“Berdasarkan pengalaman, saya yakin semangat jati diri, kesetiaan ahli UMNO dan parti komponen di Jempol, apabila selepas sahaja selesai penamaan calon, mereka akan bersatu dan bekerja kuat untuk pastikan calon BN menang,” katanya.

Menurut Adnan pula, tiada apa-apa isu melibatkan BN di Kuala Pilah walaupun calon untuk kerusi Parlimen berkenaan tidak diumum kelmarin.

“Memasuki PRU15, saya yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi bagaimanapun saya meletakkan diri saya sebagai calon underdog (bukan pilihan), kita masih berusaha menarik pengundi-pengundi terutamanya pengundi muda,” katanya.

Berikut merupakan senarai lengkap calon BN bagi kerusi Parlimen untuk PRU15 di Negeri Sembilan:

Jelebu: Datuk Seri Jalaluddin Alias

Jempol: Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli

Seremban: Felicia Wong Yin Ting

Kuala Pilah: Datuk Adnan Abu Hassan

Rasah: Ng Kian Nam

Rembau: Datuk Seri Mohamad Hasan

Port Dickson: Datuk P. Kamalanathan

Tampin: Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa

The post Adnan, Shamsulkahar calon BN di Kuala Pilah dan Jempol appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *