KOTA KINABALU: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk meneliti aduan yang dikemukakan ahli UMNO mempunyai merit mahupun tidak.
Beliau berkata, terserah kepada RoS untuk membuat keputusan kerana ia berada di luar bidang kuasa pimpinan UMNO.
Walau bagaimanapun, kepimpinan UMNO telah memenuhi segala permintaan dan maklumat yang diperlukan daripada RoS.
“Kita telah mematuhi segalanya, kita memenuhi kehendak-kehendak dalam peraturan mesyuarat kita, tiada isu.
“Namun, apabila ada orang tak puas hati jadi, dia akan buat aduan kepada RoS, itu hak masing-masing tetapi, terpulang kepada RoS untuk meneliti sama ada aduan tersebut ada merit atau tidak.
“Ia di luar bidang kuasa kami jadi, kita serahkan kepada RoS untuk buat keputusan,” katanya semasa mengulas tentang aduan ahli UMNO yang mendakwa parti itu telah melanggar Perlembagaan.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM dan Markas Divisyen Kelima Infrantri Malaysia di Kem Lok Kawi hari ini.
Hari ini, RoS memberi tempoh 60 hari kepada UMNO untuk mengemukakan penjelasan dan segala maklumat berkaitan aduan mengenai usul tambahan dua jawatan utama parti iaitu jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada 14 Januari lalu.
Tempoh 60 hari itu bermula 20 Januari, iaitu tarikh dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022.-utusan
The post Aduan ahli UMNO kepada RoS itu hak masing-masing-Tok Mat appeared first on Utusan Malaysia.