KABUL: Pemimpin tertinggi Afghanistan mengarahkan hakim untuk melaksanakan sepenuhnya undang-undang syariah melibatkan hukum hudud dan qisas di negara ini berkuat kuasa serta merta.

Perkara itu disahkan Ketua Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid menerusi kenyataan di laman Twitternya kelmarin yang menjelaskan perintah wajib berkenaan dikeluarkan oleh Pemimpin Taliban, Haibatullah Akhundzada selepas pemimpin rahsia itu bertemu dengan sekumpulan hakim baru-baru ini.

“Periksa dengan teliti fail pencuri, penculik dan penghasut. Fail-fail di mana semua syarat syariah dalam hukum Islam iaitu hudud dan qisas telah dipenuhi, maka anda wajib laksanakan. 

“Ini adalah ketetapan syariah, dan perintahku adalah wajib, jelas Zabihullah yang memetik kenyataan Haibatullah.

Haibatullah yang tidak pernah dirakam atau dilihat di khalayak ramai sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu, memerintah hanya melalui dekri dari Kandahar yang merupakan pusat utama pergerakan itu.

Sejak pengambilalihan tahun lalu, video dan gambar pejuang Taliban yang melakukan sebatan kepada orang yang dituduh melakukan pelbagai kesalahan kerap muncul di media sosial.

Semasa tempoh pertama pemerintahan mereka, Taliban kerap melakukan hukuman di khalayak ramai, termasuk sebat dan hukuman mati di stadium Ghazi di Kabul dan terdapat juga laporan mengenai penzina disebat di kawasan luar bandar selepas solat Jumaat.

Kebanyakan wanita juga tidak dibenarkan lagi bekerja, dilarang melancong tanpa saudara lelaki dan diwajibkan memakai burqa atau tudung apabila berada di luar rumah.

Pada minggu lalu, Taliban juga melarang wanita memasuki taman, pesta hiburan, gim dan tempat mandi awam.-AGENSI

The post Afghanistan kuatkuasa undang-undang syariah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *