KUALA LUMPUR: Risau bencana banjir besar tahun lalu berulang, penyanyi Afieq Shazwan melakukan persiapan awal dengan memastikan sistem saliran dan perparitan di kawasan kediamannya dibersihkan dan diselenggara dengan baik.

Kata Afieq yang menetap di Klang, Selangor, inisiatif tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan bencana itu berulang di kawasan kediaman dan kejiranannya.

“Memang risau, apatah lagi saya hanya tinggal berdua dengan ibu. Lagipun, saya sering berada di luar Lembah Klang atas urusan kerja.

“Saya sanggup melaburkan sedikit wang menyewa jengkaut untuk melakukan kerja pembersihan parit di hadapan rumah.

“Parit tidak boleh dibiarkan tersumbat kerana mengakibatkan banjir bukan sahaja di kawasan rumah, malah jiran yang tinggal berdekatan. Ia perlu dibersihkan bagi memastikan air tidak bertakung,” katanya.

Afieq merupakan antara selebriti yang terkesan dengan bencana banjir besar pada Disember, tahun lalu yang turut mengakibatkan kerosakan harta benda.

Penyanyi itu juga mengakui, masih trauma dan risau apabila terpaksa meninggalkan ibunya sendirian di rumah setiap kali terpaksa ke luar daerah memenuhi undangan persembahan.

“Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, ada kala hujan lebat dan tidak berhenti membuatkan saya bertambah risau.

“Jika tiada di rumah, saya akan kerap menghubungi ibu untuk memastikan dia dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, setakat ini, persekitaran kediaman kami masih terkawal meskipun ada beberapa kawasan dinaiki air. Kami bagaimanapun, akan tetap berjaga-jaga,” ujarnya.

 

The post Afieq Shazwan bersihkan parit elak banjir berulang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *