KOTA BHARU: Suami isteri dari Kampung Pintu Geng di sini menyemarakkan lagi bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mengagihkan 2,000 biji kek pisang secara percuma kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut hari ini.

Agihan kek pisang yang dilampirkan bersama dengan pelekat tertulis ‘undilah’ seolah-olah kertas undi dilakukan oleh Aiman Ahmad Farid, 33, dan isteri Nur Izzatie Mohamad, 29, sejak semalam.

Aiman berkata, agihan kek tersebut merupakan salah satu bentuk perkongsian rezeki bersama dengan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Menurutnya, dia dan isteri menggunakan 25 kilogram (kg) pisang jenis cavendish, 10 kg tepung dan 10 kg gula perang bagi memastikan pengguna dapat menikmati keenakan rasa kek berkenaan.

“Selain isteri, saya turut dibantu oleh empat pekerja bagi menyediakan kek tersebut yang memakan masa selama dua hari.

“Kos keseluruhan untuk menghasilkan kek pisang ini berjumlah RM2,000,” katanya ketika ditemui pemberita di kedainya di sini, hari ini.

Aiman memberitahu, tindakan tersebut merupakan salah satu usaha memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak lupa kepada tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi.

Katanya, mengundi merupakan satu kewajiban yang perlu dilakukan oleh seluruh rakyat di negara ini. –UTUSAN

 

The post Agih 2,000 kek pisang percuma sempena PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *