KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak seharusnya menukar sesuatu hukum atau fatwa dengan sewenang-wenangnya bagi mempertahan perbuatan yang berpihak partinya.

Peringatan itu dibuat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengecam kenyataan Abdul Hadi yang menyifatkan pengagihan wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah sedekah.

“Kalau dia buat sedekah, kalau kita bagi (dikatakan) rasuah. Ulama ini jangan tukar-tukar hukum atau fatwa la, (kalau tidak) akhirnya ulama politik tidak dihormati oleh rakyat dan orang Islam.

“Ulama kena ada integriti sebagai ulama, jangan tukar-tukar fatwa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA, Wisma MCA di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mempertahan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap, perpaduan lebih erat terjalin diantara semua bangsa di negara ini sempena sambutan perayaan kali ini.

“Di bawah kerajaan perpaduan ini, sebagaimana diketahui landskap politik baharu telah terbina dan inilah selepas 27 tahun, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) datang ke Wisma MCA, satu tanda yang baik.

“Dalam landskap politik di Tahun Arnab ini, kita harus menerima hakikat bahawa Malaysia harus dibangunkan semula.

“Dengan sifuasi ekonomi pasca-pandemik yang agak sukar, tetapi tidak mustahil kita melakukannya jika kita mempunyai kesepadun sebagai sebuah negara bangsa di Malaysia ini,” katanya. – UTUSAN

 

 

The post Agih wang pengundi adalah sedekah: Jangan sewenangnya tukar fatwa – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *