KUALA KANGSAR: Perikatan Nasional (PN) mempunyai keyakinan tinggi untuk menawan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, sekali gus merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kejutan itu mampu dilakukan hasil kerjasama erat komponen parti dalam PN melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

“Di Perak, jentera dan kekuatan parti diperkukuhkan dan kami bersedia untuk merampas semula pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita (bukan sahaja) akan mempertahankan kerusi (yang dimenangi pada pilihan raya lalu), malah, akan memberi hadiah dengan menambah kerusi untuk menang (tubuhkan kerajaan) di Putrajaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN Perak di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Menurut bekas Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu, rundingan dan pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti komponen PN juga telah selesai sepenuhnya.

“Perundingan dan pembahagian kerusi di kalangan PN di Perak selesai 100 peratus. 

“Alhamdulillah, rasa syukur sangat kerana kalau Peja (Ahmad Faizal) dengan Pak Teh (Razman), kerja kami erat macam adik-beradik hingga di setiap kawasan dapat diselesaikan,” katanya.

Tambah beliau, pentadbiran PN di Perak sebelum ini telah mengendalikan kerajaan yang stabil hingga berjaya mendapatkan lebihan dalam Belanjawan Negeri dan menyelesaikan masalah hutang syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Seingat saya di Perak, belum pernah lagi ada kerajaan negeri beri bonus kepada semua penjawat awam sebanyak sebulan gaji selama dua tahun berturut-turut.

“Kitalah juga yang memulakan pemberian kad prihatin rakyat untuk ringankan beban rakyat susah.

“Rakyat Perak nampak mesej apa yang PN bawa, sebagai sebuah parti yang amalkan politik perkhidmatan, membantu rakyat susah untuk pastikan masa depan anak cucu terjamin,” katanya. – UTUSAN

The post Agihan kerusi selesai, PN sedia rampas semula Perak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *