KUCHING: Empat wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini tidak memberi sebarang komitmen berhubung kerajaan perpaduan yang dicadangkan Seri Paduka.

Empat wakil GPS yang menghadap Seri Paduka pada pukul 11.30 pagi ini ialah Setiausaha Alung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof: Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Richard Riot Jaem dan wakil Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Aaron Dagang.

Fadillah berkata, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar GPS mempertimbang pembentukan kerajaan perpaduan bagi memudahkan pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, titah Seri Paduka itu adalah berdasarkan keadaan semasa dengan tiada seorang pun memperoleh majoriti mudah untuk menjadi Perdana Menteri.

“Lewat petang semalam kita mendapat panggilan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan selepas berbincang dengan Premeir (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) kami berempat diarah menghadap Tuanku.

“Dalam perjumpaan itu Tuanku telah memaklumkan tidak ada seorang pun yang mendapat majoriti mudah untuk menjadi Perdana Menteri, maka Seri Paduka berhasrat untuk kita berbincang dan mempertimbang sama ada boleh ditubuhkan kerajaan perpaduan.

“Atas sebab itulah Seri Paduka memberi nasihat serta pandangan mengapa perlunya diwujudkan kerajaan perpaduan,” katanya ketika ditemuidi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Fadillah menjelaskan bahawa mereka berempat tidak dapat membuat keputusan.

“Kita mendengar pandangan Tuanku dan akan membawa kepada pucuk pimpinan GPS. Jadi tadi kita sudah pun memberi taklimat kepada Premier kita dan sepertimana yang diputuskan melalui kenyataan GPS memang berhasrat dari segi sokongannya kalau dapat menubuhkan kerajaan bersama dengan beberapa parti.

“Tetapi pada masa yang sama, kita juga akan patuh kepada apa juga keputusan oleh Seri Paduka,” katanya.

Menurut Fadillah, apa yang penting adalah untuk akur kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ditanya pemberita apakah Premier Sarawak bersetuju dengan kerajaan perpaduan, Fadillah berkata: “Kalau itu keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong kita akan akur, kita akan bersetuju.”

Kepada soalan lain apakah GPS akan berkerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Fadillah berkata, apa yang penting adalah untuk patuh kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Setakat ini kita sudah nyatakan dari segi mana yang kita setuju dan kita tunggu keputusan Agong,” tambah beliau.

Fadillah juga berkata bahawa baginda tidak bertanya kepada mereka berempat untuk menyatakan nama calon Perdana Menteri. – UTUSAN

 

The post Agong cadang bentuk kerajaan perpaduan – Fadillah Yusof appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *