PETALING JAYA: Semua ketua parti dan gabungan politik yang mempunyai jumlah kerusi banyak diminta untuk memaklumkan persetujuan penggabungan sesama mereka bagi pembentukan kerajaan yang baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat selewatnya pukul 2.00 petang, esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Istana Negara menerima dokumen keputusan rasmi PRU15 daripada Pengerusi Suruhaniaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh dan jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Justeru, katanya, bagi menjunjung titah Seri Paduka, Istana Negara meminta kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk memohon kepada ketua parti dan gabungan politik yang mempunyai jumlah kerusi banyak untuk memaklumkan kepada pihaknya mengenai gabungan parti politik telah dipersetujui antara parti atau gabungan politik bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

“Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum pukul 2.00 petang, esok.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan keputusan rasmi SPR, Pakatan Harapan (PH) hanya menang 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula 73, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (dua).

Perkembangan itu jelas menunjukkan tiada parti memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan sekali gus memerlukan kerjasama gabungan atau parti lain

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menitahkan agar rakyat dan ketua parti-parti politik agar akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara. 

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

Katanya, Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah. -UTUSANhttp://utusan.com.my

The post Agong titah gabung parti bentuk kerajaan  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *