KUALA LUMPUR: Selepas berdepan kesukaran untuk menembusi benteng Laos yang bermain secara bertahan, jaringan Sergio Aguero pada minit ke-28 menjadi pemisah buat Harimau Malaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Malaysia melakukan lapan pertukaran berbanding kesebelasan utama yang menumpaskan Myanmar 1-0 di Yangon, Rabu lalu, di mana hanya Faisal Halim, Safawi Rasid dan Sharul Nazeem Zulpakar dikekalkan.

Anak-anak buah Kim Pan Gon menguasai permainan dari awal dan memperoleh peluang pertama menerusi Faisal yang berjaya mengelecek benteng pertahanan Laos, namun rembatannya melapasi palang gol seawal minit kelima.

Begitupun selain percubaan itu, Malaysia tampak bergelut untuk mencipta percubaan terbaik sehinggalah pada minit ke-22 apabila rembatan kapten, Safawi dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol Laos, Leo Oudone Souvannasango.

Tindakan Laos berkampung di kawasan sendiri menyebabkan hantaran-hantaran yang sering dilakukan pemain negara berjaya dipatahkan, malah permainan kurang kemas di awal minit menyebabkan skuad negara pada mulanya seperti bermainan tanpa hala tujuh.

Begitupun pada minit ke-28 bermula Harimau Malaya akhirnya mendapatkan peluang yang dinanti-nantikan, bermula dari hantaran Mukhairi Ajmal Mahadi kepada Nor Hakim Hassan.

Nor Hakim yang menerima hantaran Mukhairi melakukan larian sebelum menghantar bola lintang yang mudah ditolak masuk Aguero untuk meredakan sedikit tekanan tuan rumah.

Gol tersebut merupakan jaringan sulung pemain naturalisasi kelahiran Argentina itu bersama skuad kebangsaan pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama.

Satu lagi percubaan pada minit ke-35 oleh Aguero turut gagal menambah jumlah gol skuad kebangsaan, apabila percubaannya menolak bola ke gawang lawan tinggi melepasi palang gol Laos. – UTUSAN ONLINE

The post Aguero pastikan Malaysia atasi Laos 1-0 di babak pertama appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *