SEREMBAN: Pemberi pinjaman wang secara haram (ah long) dari Singapura semakin berani apabila bertindak mencurah petrol dan membakar sebuah rumah di Taman Seremban Tiga di sini awal pagi tadi sehingga memusnahkan sebuah kereta jenis Mercedes.

Kejadian pada pukul 2 pagi itu ketika enam beranak termasuk dua warga emas sedang lena tidur sebelum dikejutkan oleh jiran yang memaklumkan kebakaran itu.

Seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Wong, 44, berkata, adik lelaki bongsunya yang berusia 30 tahun bekerja di Singapura sebagai penjual telefon bimbit dan meminjam wang dengan ah long dari negara jiran itu sejak dua minggu lalu.

“Sebelum kejadian, ah long tersebut meninggalkan nota amaran supaya membayar wang yang dipinjam beserta nombor telefon Singapura.

“Malah, sebelum ini, ibu bantu dengan selesaikan pinjaman dengan membayar 10,000 dolar Singapura (RM30,400) kepada ah long tersebut. Hari ini, kami cuba hubungi adik tetapi tidak dapat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seremban Tiga di sini hari ini.

Menceritakan detik cemas yang berlaku, Wong berkata, ketika kejadian, dia tinggal bersama ibu dan ayah berusia 71 tahun manakala kakak dan dua orang anak saudara berusia 15 dan 17 tahun tinggal di rumah sebelah.

“Apabila saya bangun, api sudah marak dengan kereta Mercedes yang diletakkan di depan rumah terbakar. Saya sempat memandu keluar sebuah lagi kereta Toyota Vios yang sedikit terbakar di bahagian tepi disebabkan haba panas,” katanya.

Jelas Wong, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat dua lelaki menaiki sebuah kereta dengan salah seorang mencurahkan petrol menggunakan baldi ke hadapan rumah sebelum menyalakan api.

“Seorang lagi merakam kejadian itu dengan telefon bimbit. Percubaan pertama mereka (membakar) gagal sebelum beredar dan kemudian lelaki sama datang semula menyalakan api ke arah rumah,” katanya.

Sementara itu, ibunya Chee Ah Lin, 71, berkata, sekarang mereka sekeluarga takut untuk mendiami rumah tersebut kerana bimbang ah long itu akan datang semula.

“Takut memang takut, tetapi tiada pilihan terpaksa juga tinggal di sini. Saya juga harap ah long cari anak saya sebab dia yang meminjam wang bukan kami,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kebakaran.

“Kebakaran melibatkan garaj hadapan sebuah rumah teres dua tingkat beserta sebuah kereta Mercedes terbakar 100 peratus dan sebuah Toyota Vios terbakar dua peratus. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya. –UTUSAN

The post Ah long Singapura simbah petrol bakar rumah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *