PETALING JAYA: Ahli akademik tidak semestinya individu yang paling sesuai menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Ahli Majlis Tertinggi (UMNO), Datuk Dr. Puad Zarkashi berkata, profesion seseorang sebelum memasuki medan politik tidak bermakna sekiranya lebih gemar bermain politik selepas bergelar menteri.

Kata beliau, seorang pemimpin perlu mempunyai kemahuan untuk melakukan sesuatu dengan kuasa politik yang dipegangnya supaya kementerian diterajui bergerak ke arah lebih baik.

“Tidak semestinya orang akademik paling sesuai menerajui KPT atau KPM. Kalau orang akademik tetapi tidak ada political will pun tak guna juga. Yang penting idea dan komitmen. Maszlee (Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik) pun asalnya orang akademik.

“Ada orang bukan politik seperti ahli akademik dan banker bila jadi menteri, dia lagi kuat main politik. Lebih parah bila tidak berjiwa rakyat. Tidur di rumah panjang pun tidak sanggup,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

MASZLEE MALIK

Puad yang juga speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mengulas saranan Maszlee agar melantik ahli akademik sebagai menteri  dalam dua portfolio tersebut selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) supaya akademik bebas daripada tekanan politik.

Sementara itu, Puad berharap Menteri Pendidikan baharu, Fadhlina Sidek dapat mempelajari tentang kementeriannya dan mengenal pasti masalah utama yang membelenggu sistem pendidikan negara.

“Semoga Menteri KPM yang baru cepat belajar tentang struktur dan isu utama pendidikan. Jangan sampai suruh Ketua Setiausaha atau ketua pengarah pendidikan tolong jawab soalan pemberita dalam sidang media,” katanya. – UTUSAN

The post Ahli akademik tidak semestinya jadi menteri – Puad appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *