IPOH: Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Cuan How hadir ke Bangunan UMNO Perak di Jalan Sultan Nazrin Shah di sini sebentar tadi.

Ahli Parlimen Ipoh Timor itu dilihat hadir seorang diri sekitar pukul 10.30 pagi.

Difahamkan, bekas Ketua Pemuda DAP itu bertemu dengan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) Perak termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Setakat ini, kerajaan negeri Perak masih belum boleh dibentuk ekoran tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi terbanyak dengan 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) pula 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).

BN yang memenangi kerusi DUN paling sedikit itu disebut sebagai ‘king maker’ dalam pembentukan kerajaan di negeri ini.

Dalam pada itu, Saarani dijangka menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta pada pukul 12 tengah hari ini.

Sembah mengadap itu dipercayai berkaitan urusan pembentukan kerajaan negeri di Perak selepas PRU15. – UTUSAN

The post Ahli jawatankuasa DAP Pusat hadir di bangunan UMNO Perak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *