KANGAR: Anak kepada warga emas yang rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, semalam, reda dengan kejadian menimpa ibunya itu.

Amirul Mat Saad, 39, berkata, kejadian itu merupakan ketentuan Allah SWT dan mereka sekeluarga menerima ujian berkenaan dengan hati terbuka.

Katanya, kali terakhir dia bertemu ibunya itu pada minggu lalu sewaktu berkunjung bagi melawat keadaannya di rumah berkenaan.

“Saya bersama isteri tinggal di kawasan Felcra Lubuk Sireh ini juga namun kedudukan rumah kami dan ibu adalah pada blok yang berlainan.

“Ibu saya menetap di rumah itu bersama bapa saudara kami dan ketika kejadian dia dikatakan berada seorang diri sebelum ditemukan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan seorang warga emas yang menghidap masalah mental ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 petang itu, mangsa, Azizah Panjang Karim, 61, maut di tempat kejadian selepas terperangkap di dalam rumah berkenaan.

Menceritakan lebih lanjut, Amirul berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu melalui isterinya sewaktu berada di kebun dan terus bergegas ke rumah berkenaan selepas dimaklumkan tentang kebakaran.

“Pada mulanya memang saya ada mendengar bunyi siren kenderaan pasukan penyelamat keluar masuk dari kawasan itu namun tidak menyangka rupa-rupanya kejadian kebakaran itu melibatkan rumah didiami ibu,” katanya.

Dalam pada itu, Amirul berkata, ibunya sudah lama menghidap masalah mental dan turut mendapatkan rawatan susulan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

“Ibu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sewaktu kali terakhir mereka bertemu pada minggu lalu. Perwatakan ibu ketika itu biasa sahaja dan tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara,” katanya.-UTUSAN

The post Ahli keluarga warga emas rentung terima ketentuan Allah SWT appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *