JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendesak  Ahli Parlimen parti itu yang melanggar arahan Presiden dan memberi sokongan kepada calon Perdana Menteri yang tidak disokong Barisan Nasional (BN) supaya meletakkan jawatan.

Menurutnya, semua Ahli Parlimen yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menandatangani surat aku janji supaya memberi mandat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

Sehubungan itu, semua pihak diingatkan supaya tidak ‘bermain kotor’ dan mendesak Ahmad Zahid untuk berundur.

“Saya anggap Ahli Parlimen BN yang bertentangan dengan Presiden mengenai perkara ini secara terbuka sebenarnya mahu dipecat daripada parti dengan sengaja. Hal ini supaya mereka dapat menjadi Ahli Parlimen bebas dan memberi sokongan kepada calon Perdana Menteri yang bukan disokong BN.

“Oleh itu, saya mendesak Ahli Parlimen BN ini supaya meletak jawatan sekiranya mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan politik demi kepentingan dan hala tuju UMNO dan BN,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan.

Tambah Nur Jazlan, kerusi yang dimenangi setiap calon bertanding dalam PRU15 adalah milik parti dan bukannya milik peribadi.

Kelmarin, Ahmad Zahid menegaskan bahawa mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang melanggar arahan parti akan dilepaskan keahlian, termasuk kerusi Parlimen selaras dengan undang-undang anti-lompat parti.

Sebelum itu, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Ahli Parlimen Sembrong mengeluarkan kenyataan, beliau rela dipecat daripada UMNO dan BN sekiranya kepimpinan mahu terus menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU15, PH memenangi sebanyak 82 kerusi Parlimen, manakala BN pula memenangi 30 kerusi. –UTUSAN

 

 

 

The post Ahli Parlimen UMNO ‘langgar’ Presiden perlu letak jawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *