KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dipenjara sehari dan didenda RM400,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membenarkan seorang bekas remiser melupuskan lebih 14 juta unit saham sebuah syarikat, 18 tahun lalu.

Hakim Azman Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Siow Chung Peng, 52, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Chung Peng yang sepatutnya dibicarakan pada peringkat pembelaan, bagaimanapun menukar pengakuannya kepada bersalah atas pertuduhan pilihan.

Selepas menjatuhkan hukuman, Azman berkata, kes itu telah didengar melebihi 10 tahun oleh tiga hakim berbeza selain memerintahkan kesemua eksibit (barang bukti kes) yang dikemukakan ketika perbicaraan, dikembalikan kepada pihak pendakwaan.

“Saya berterima kasih kepada pihak pendakwaan dan pembelaan kerana dapat menyelesaikan kes ini dengan memuaskan serta mewujudkan situasi ‘menang-menang’ bagi semua pihak. Saya berharap kes seperti ini tidak berulang,” katanya.

Menurut pertuduhan, Chung Peng yang merupakan pemilik benefisial terhadap akaun Sistem Depositori Pusat di OSK Securities Berhad, didakwa membenarkan Goh Hock Choy, 60, melupuskan 14,683,200 unit saham Lii Hen Industries Berhad ke dalam akaun itu.

Ahli perniagaan tersebut didakwa berbuat demikian walhal bekas remiser yang juga rakannya bukan nominee yang diberi kuasa bagi akaun tersebut untuk melupuskan saham berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di antara 2 Julai 2004 dan 2 November 2004 di Bursa Malaysia Securities Berhad, Tingkat 14, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini.

Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 29A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Akta 453) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 51 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), Izuddin Mohamad berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan berkaitan representasi yang dikemukakan kepada SC.

Ujarnya, persetujuan itu berhubung pertuduhan dan hukuman mengikut Seksyen 172C Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

“Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara kes dan juga status representasi yang telah dihantar tertuduh. Kita terima representasi pada 9 Ogos dan 18 November lalu.

“Oleh demikian kedua-dua pihak telah bersetuju dengan terma-terma mengenai hukuman dan pertuduhan supaya satu akuan dibuat.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan telah menyediakan satu dokuman pelupusan kes yang mengandungi terma-terma yang telah dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh mengesahkan menerima jawapan representasi itu pada 7 Disember lalu.

“Saya juga sahkan pihak-pihak setuju melupuskan kes ini. Kami mendapat maklum balas positif hasil representasi.

“Terma dicadangkan dalam representasi sudah dipersetujui dan ia dipanjangkan kepada anak guam berhubung pertuduhan dan hukuman akan dihadapinya,” katanya. – UTUSAN

The post Ahli perniagaan dipenjara sehari, denda RM400,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *