SEREMBAN: Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin yang juga penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilantik sebagai Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan berkuat kuasa semalam.

Ahmad Idham berkata, perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim pada mesyuarat yang diadakan di sini semalam.

Saya terharu apabila dimaklumkan gerak kerja Hab Pendidikan Khas Dr. Ahmad Idham yang telah saya asaskan dan gerakkan di Port Dickson melalui Pertubuhan Briged Prihatin telah memberi impak di mata masyarakat.

“Selain itu, ia juga menjadi antara faktor yang dinilai oleh kepemimpinan tertinggi GTA di Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan untuk mengumumkan pelantikan ini.

“Bagaimanapun pelantikan ini bukan untuk dibanggakan sebaliknya jawatan yang diberikan ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang harus saya galas sebaiknya,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Idham menambah, melalui pelantikan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa GTA bukan sekadar gabungan di antara parti politik sebaliknya turut menggabungkan pertubuhan bukan kerajaan  (NGO), kumpulan profesional dan individu.

“Buktinya, saya selaku Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin telah dilantik tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik.

“Saya komited untuk terus menyampaikan kepada masyarakat bahawa GTA bukan hanya gabungan retorik parti politik seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya adalah gerakan rakyat untuk rakyat bagi mengangkat pemimpin melayu Muslim yang berwibawa tanpa terikat kepada politik kepartian,” katanya lagi.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan terdapat spekulasi bahawa Ahmad Idham berkemungkinan diangkat sebagai calon mewakili GTA di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Ia selepas beliau sejak kebelakangan ini sering didapati terlibat dalam program menyantuni masyarakat di Port Dickson. –UTUSAN

 

The post Ahmad Idham Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *