SABAK BERNAM: Calon Gerakan Tanah Air (GTA), Dr. Ahmad Idham Ahmad Nazri mahu mendedahkan pelbagai isu dihadapi rakyat Parlimen Port Dickson sepanjang tempoh lima hari terakhir baki berkempen.  

Pelakon dan pengarah filem itu berkata, isu melibatkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dimaklumkan beliau menerusi ceramah mega bermula malam ini.

“Isu berkenaan antaranya berkaitan keadaan Port Dickson yang dilihat seperti ‘tepu’ sama ada dari segi infrastruktur, fasiliti dan ekonomi penduduk.

“Kenapa perkara itu berlaku dan punca utamanya akan saya bongkar kepada rakyat nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Pekan Sabak di sini, petang tadi.

Jelas Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan itu, pendedahan berkenaan susulan kekecewaan pelbagai golongan masyarakat setempat.

“Soal terbesar adalah mengenai kepercayaan mereka yang seolah-olah dikhianati dan dipinggirkan. Rakyat tidak mahu pihak yang hanya menabur janji bulan dan bintang namun gagal mengotakannya,” ujarnya.

Kata Ahmad Idham, Port Dickson sememangnya sudah bersedia ke arah perubahan terutama faktor pembangunan yang lebih holistik.“Parlimen ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara lebih serius terutama eko pelancongan.

“Bagi saya, semak dan imbang perlu ada antara kerajaan negeri dan Ahli Parlimen dalam memastikan pentadbiran yang lebih tersusun,” katanya.

Tambah beliau, isu hab pendidikan khas, kebajikan rakyat dan infrastruktur awam menjadi fokus utama sekiranya memenangi kerusi panas itu kelak.

Ahmad Idham menempuh cabaran sengit apabila berdepan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dan Datuk P. Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN).

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi itu menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) 2018 dengan majoriti 23,560 undi. – UTUSAN

The post Ahmad Idham mahu dedah isu rakyat Port Dickson appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *