KUALA LUMPUR: Individu bukan ahli politik bakal menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana rasa muak dengan wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas dengan baik. 

Penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mendakwa beliau memahami sanubari serta kemahuan rakyat yang kini bergantung pada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi tempat rakyat mengadu nasib.

Atas alasan tersebut, Ahmad Idham bersedia menjadi calon di Port Dickson walaupun mengetahui terdapat kemungkinan beliau bertembung dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rakyat sebenarnya menarik nafas lega kerana akhirnya ada alternatif untuk mereka memilih pemimpin yang bukan orang politik. Jadi apabila nama saya sudah disebut, saya perlu persiapkan diri dan sudah tentu saya bersedia.

“Ketika bukan pilihan raya lagi kita dah membawa agenda untuk rakyat. Kita tengok sajalah, apabila berlaku sebarang bencana atau mana-mana isu dibangkitkan, NGO akan berada di lokasi itu sebelum orang politik sampai.

“Saya ada tanya pada Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail dan dia kata Gerakan Tanah Air (GTA) adalah gerakan rakyat. Sekiranya rakyat mahukan awak kerana dia nampak gerak kerja awak maka dia tidak teragak-agak meletakkan saya di Port Dickson,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad Jani mengumumkan bahawa Ahmad Idham hampir pasti menjadi calon di Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung November ini.

Tambahnya, Ahmad Idham yang juga Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin sedia memberi saingan kepada mana-mana calon parti lawan di kerusi tersebut termasuk sekiranya Pakatan Harapan (PH) mempertaruh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham berkata, beliau sedia untuk menggalas amanah rakyat kerana telah mendekati dan memahami keperluan masyarakat.

“Kepercayaan daripada kumpulan bawah yang mahukan saya meneruskan perjuangan saya untuk rakyat jadi tidak bolehlah saya kata saya tidak bersedia sekali gus mengecewakan rakyat yang sudah muak dengan ahli politik.

“Apabila saya menyantuni kumpulan tertentu, ramai mengadu dan mengharapkan saya untuk mewakili dan bersuara bagi mereka kerana terdapat wakil rakyat tidak pernah turun langsung ke kawasan,” jelasnya. – UTUSAN

The post Ahmad Idham tidak gentar jadi calon PD appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *