KUALA LUMPUR: Kagum melihat usaha rakan seperjuangannya, Datuk Seri Eizlan Yusof mengenal pasti beberapa isu berbangkit di kawasan Parlimen Sabak Bernam yang ditandinginya, membuatkan Dr. Ahmad Idham terpanggil untuk memberikan sokongan.

Pelakon yang juga calon Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu berkata, biarpun jarak perjalanan mengambil masa empat jam, dia bersedia meluangkan masa turun padang untuk memacu semangat sahabatnya itu.

“Saya mengikuti perkembangan Eizlan di Sabak Bernam dan melihat tempat dia pergi, isu yang dia dengari dan santuni sehingga ada yang tular di media sosial.

“Kami ini Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan bergerak di dalam Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan logo Pejuang di bawah komponen NGO, Gagasan Bangsa.

“Jiwa kami, jiwa NGO. Kami kenal pasti dan selesaikan masalah, bukan turun padang untuk buat ‘show’!” katanya.

Umum maklum, Ahmad Idham mempunyai Hab Pendidikan Khas yang juga satu pergerakan NGO di bawah kendaliannya.

Justeru, pengarah filem Mat Motor Otai itu juga berhasrat untuk membuka sebuah lagi pusat berkenaan di Sabak Bernam.

“Itu janji saya pada Eizlan sekiranya dia menang. Kami membesar bersama-sama dan dia sangat faham keperluan anak-anak istimewa.

“Jika masyarakat di sini mahukan sebuah Hab Pendidikan Khas untuk anak-anak istimewa, saya rasa mereka tahu siapa yang patut diundi,” katanya.

Ahmad Idham turut tertarik dengan perkongsian Eizlan  mengenai isu capaian internet yang menjadi antara isu yang menuntut penyelesaian di Sabak Bernam.

“Saya terkejut capaian internet masih bermasalah di Sabak Bernam. Saya pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Salah satu agensi pernah bersama saya adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), jadi saya tahu kerja mereka,” katanya.

The post Ahmad Idham turun padang bantu Eizlan berkempen appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *