KUALA NERUS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd. Rahman menyatakan kesediaan untuk bertanding di Parlimen Kuala Nerus dalam  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau menyerahkan keputusan berkenaan  kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya, sebagai ahli parti yang patuh kepada pemimpin, beliau akan tetap berkhidmat kepada rakyat terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya sejak 2008 itu.

“Saya sentiasa bersedia untuk parti di mana-mana sahaja. Sama ada diminta bertanding di Parlimen, kekal mempertahankan DUN atau tidak dipilih bertanding sekalipun, saya boleh.

“Khidmat kepada rakyat bukan hanya daripada individu berjawatan sebaliknya tanpa jawatan juga boleh menjaga kebajikan atau membantu rakyat tanpa mengira parti.

“Jadi, terpulang kepada pengerusi untuk menentukan strategi UMNO menghadapi PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan baucar RM100 kepada 260 penduduk DUN Seberang Takir sempena Jualan Murah Keluarga Malaysia, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, beliau menyifatkan keengganan Pas membubarkan DUN negeri sebagai bukti parti itu gagal memimpin Terengganu dengan baik sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, Pas seolah-olah tidak berani atau takut untuk berhadapan dengan mandat rakyat yang sudah mampu menilai yang mana kaca dan yang mana permata. 

“Mereka (Pas) kata sudah berkhidmat dengan cemerlang sejak 2018, namun, tidak berani untuk membubarkan DUN negeri. Maknanya mereka kerajaan yang gagal.

“Kalau yakin, kenapa Pas nak takut (bubar), rakyat akan tetap pilih mereka dan sambung memimpin Terengganu sepenggal lagi. Lagi pun sekarang masa sesuai pulihkan politik dan ekonomi.

“Namun, kita setuju pemilihan Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu Pas. Kita dah tahu mereka parti yang ‘kluk-klek’ atau tiada pendirian. Sekejap cakap macam ini, sekejap cakap macam itu.

“UMNO dihentam sebagai parti ‘keruh’ sedangkan Pas gagal mengatasi masalah air keruh di Kelantan. Malah, mereka yang datang kepada Presiden UMNO untuk hidupkan Muafakat Nasional (MN).

“Tetapi, apabila tidak mahu memenuhi syarat kita, dikatanya UMNO pelbagai kata-kata negatif. Inilah sikap sebenar Pas dan saya yakin rakyat boleh menilai,” tambah beliau. –UTUSAN

The post Ahmad Razif sedia bertanding Parlimen Kuala Nerus appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *