KEMAMAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sedia memikul amanah bertanding di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun pada awalnya berhasrat mempertahan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Bekas Menteri Besar itu berkata, beliau sanggup mencabar diri bertanding di kerusi Parlimen itu selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menolak bertanding berikutan faktor kesihatan.

“Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh Presiden dan pucuk pimpinan parti, sebenarnya ketika Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad menjadi Menteri Besar pada 1995, saya pernah ditawarkan bertanding di kerusi Parlimen tetapi saya menolak ketika itu. 

“Kali ini saya menerima tawaran ini (bertanding di Parlimen Kemaman) selepas cadangan pertama kita, Ahmad Shabery menarik diri dan saya diberi amanah untuk bertanding merampas kerusi tersebut,” katanya ketika ditemui selepas lebih 200 penyokong UMNO menyambut kepulangannya dari ibu negara di kediamannya di Teluk Kalong, di sini, hari ini. 

Ahmad berkata, berdasarkan sokongan dan sambutan rakyat, beliau yakin dapat merampas kembali Parlimen Kemaman yang sebelum ini dimenangi Pas. 

“Sebagai orang biasa dan orang kampung, saya bersedia berkhidmat sebaik mungkin dan sebagai orang kelahiran Kemaman, saya tahu hasrat dan hati rakyat Kemaman. Saya yakin dan percaya orang Kemaman memerlukan khidmat saya,” ujarnya.

Pada PRU-14, Parlimen Kemaman dimenangi calon Pas, Alias Abd. Hamid dengan majoriti 2,163 undi menewaskan  Ahmad Shabery dan calon PKR, Mohd. Huzaifah Md. Suhaimi (PKR). – UTUSAN

 

The post Ahmad Said pikul amanah tanding Parlimen Kemaman appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *