KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghargai kepercayaan perwakilan yang memberi peluang kepadanya untuk mengetuai UMNO untuk penggal seterusnya.

Menurutnya, biarpun badai melandai, beliau akan terus membawa bahtera UMNO menuju ke pelabuhan.

“Saya mengucapkan penghargaan kerana beri kepercayaan mengetuai UMNO, kami berdua (Timbalan Presiden) berganding bahu bagi terus membawa bahtera untuk tempoh penggal berikut biarpun badai, ribut melanda,” katanya dalam ucapan pengulungan Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini hari ini.

Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 meluluskan usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum 19 Mei ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Semalam, cadangan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan menerusi usul tambahan dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin supaya dua jawatan tertinggi tersebut tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul tambahan itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan apabila beberapa perwakilan termasuk melibatkan Badan Perhubungan UMNO Negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Johor menolak usul tersebut dan mahu kedua-dua jawatan berkenaan dipertandingkan. – UTUSAN

The post Ahmad Zahid hargai kepercayaan perwakilan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *