PUTRAJAYA: Desakan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur daripada jawatannya semakin kuat apabila beberapa pemimpin parti itu tampil bersuara selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di peringkat Parlimen.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, walaupun rakyat menolak pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH), tetapi itu tidak menjadikan barisan kepimpinan UMNO sebagai pilihan mereka kali ini.

Beliau berkata, UMNO menginsafi angin perubahan suara rakyat dan situasi itu sudah ramai memperkatakan serta memperingatkan agar parti perlu lebih berhati-hati dan berubah, tetapi tidak diendahkan.

“Akhirnya rakyat sendiri terpaksa menyingkirkan UMNO. Bukan sahaja pemimpin besar UMNO yang lain, bahkan turut mengorbankan sahabat-sahabat saya pelapis muda yang berpotensi dalam UMNO dan BN.

“Perubahan baharu Malaysia pasca PRU15 memberi signal jelas daripada rakyat untuk UMNO agar lebih serius melakukan perubahan tampuk kepimpinan selari dengan denyut nadi rakyat,” katanya dalam kenyataan di Instagram beliau hari ini.

Khaidhirah yang dikenali sebagai Dira berkata, era parti terbesar dan memiliki ahli teramai yang mampu menjanjikan kemenangan sudah berlalu.

Hakikatnya, kata beliau, peratusan ahli UMNO sebagai pengundi jauh lebih kecil daripada pengundi bukan parti.

Sebagai pemimpin muda dalam parti, beliau menyahut seruan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa dengan penuh rasa hormat dan rendah diri agar Ahmad Zahid mengundurkan diri.

“Bahkan dalam situasi genting hari ini, sebarang bentuk rundingan perlu dibawa ke meja perbincangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Namun, saya menzahirkan rasa kecewa kerana seolah-olah MKT sebagai pembuat keputusan tertinggi diketepikan dan mesyuarat MKT dibatalkan,” katanya.

Untuk itu, beliau berpendapat, parti memerlukan perubahan mutlak mendengar suara hati rakyat, bukan sahaja kehendak akar umbi UMNO semata-mata, tetapi kehendak hati nurani rakyat sebagai pengundi majoriti. – UTUSAN

The post Ahmad Zahid perlu berundur, kecewa suara MKT diketepikan – Dira appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *