BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menziarahi pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Tebuk Chek Maja, Sungai Nipah Darat di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiba di kawasan tanah perkuburan tersebut pada kira-kira pukul 1.30 petang dan berdoa untuk Allahyarham ibunya, Tuminah Abdul Jalil yang meninggal dunia pada Oktober 2011 dan Allahyarham bapanya, Raden Hamidi Abdul Fatah yang meninggal dunia pada Ogos 2014.

Turut bersama Ahmad Zahid ialah adiknya, Datuk Hakim Hamidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrulzaman Yahya.  

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengadakan perjumpaan tertutup dengan kepemimpinan UMNO Bahagian Dagan Datuk di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini.

Selepas menziarahi pusara kedua-dua orang tuanya, Ahmad Zahid turut meluangkan masa menghadiri jemputan kenduri majlis perkahwinan pasangan pengantin, Naiumi Azmi Mat Desa dan isterinya, Norshamiah Abdullah di Kampung Sungai Nipah Baruh.

Ahmad Zahid kemudiannya pulang ke kediamannya di  Sungai Nipah di sini yang disambut penduduk dan penyokong. 

Semalam, Ahmad Zahid mengangkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid turut memegang portfolio Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. – UTUSAN

The post Ahmad Zahid ziarah pusara ibu bapa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *