“Mula-mula memanglah orang suka dan simpati, tapi lama-lama muak juga. Kenapa nak dedah aib sendiri di media sosial, silap hari bulan, apa pun tak dapat. Wanita ini ibarat buah mentimun, menggolek rosak, kena golek binasa,”.

Perbualan rakan sepejabat saya dan barangkali juga rakan sepejabat anda berhubung pendedahan mengenai kisah rumahtangga di media sosial hari ini, bukan lagi isu terpencil.

Pendedahan mengenai kisah keluarga yang dipaparkan tanpa kita sebagai pengguna media sosial, memintanya. Kadangkala terfikir juga entah betul entahkan tidak, entah-entah sekadar konten?

Seperti biasa, dalam setiap kisah pengakuan, empunya diri memiliki alasan yang mereka rasakan betul, sehingga berani berkongsi.

Saya ingat lagi suatu waktu dahulu, akbar akan kaburkan wajah individu yang mengaku berdepan masalah keluarga kerana ia membabitkan maruah diri dan kaum keluarga.

Hanya ‘kisah’ mereka yang akan media kongsi sebagai pengajaran kepada pembaca, bukannya individu yang bercerita.

Gara-gara media sosial, ‘blurkan’ wajah bagaikan sudah ‘laku’ lagi kini. Begitulah kuatnya kuasa media sosial yang sering dianggap sebagai senjata fitnah akhir zaman.

Sesiapa sahaja boleh mendengar, memberikan komen dan berkata semahunya. Betul atau sebaliknya, bukan soalnya, yang penting ‘donesokong’.

Menjaja kisah rumahtangga disifatkan sebagai penyakit dan pesakit perlu diberikan rawatan. Perundangan Syariah sebenarnya sudah sempurna, hanya keegoaan individu menjadikan sesuatu kes itu berlarutan. Tetapi saya pasti ada jalan penyelesaiannya.

Kalaulah netizen boleh bertindak bagaikan hakim, apalah fungsinya perundangan dan badan kehakiman?

Pendedahan demi pendedahan di media sosial dibimbangi memberikan persepsi buruk masyarakat dan orang bukan Islam terhadap keharmonian dan kerukunan sebuah perkahwinan dalam agama kita yang suci.

Nak berkongsi, biarlah ada batasnya. Lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita yang bergelar ibu. Mereka seharusnya menjadi idola kepada ahli keluarga. Silap hari bulan mereka pula dianggap berlebih-lebihan dan keterlaluan.

Sebagai ingatan kepada diri sendiri, kita pun ada anak-anak yang akan melalui proses dewasa.

Banggakah kalau mereka melihat ‘drama’ orang tua mereka di media sosial?

Jadilah wanita yang berjuang untuk keluarga di jalan yang betul, bukannya di ruangan yang hanya akan menambah kusut, sesak dan persepsi bukan-bukan.

Kalau sedang marah atau tidak berfikiran waras, elakkanlah diri daripada menatap media sosial. Tak manis ya, nanti dituduh meroyan, bila ‘sikit-sikit nak up’ atau ‘sikit-sikit dan create issue’ atau ‘nak cari likes lah tu’.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.

The post Aib famili bukan konten appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *