BALIK PULAU: Kegigihan wanita ini menghasilkan pelbagai pes masakan dan dodol asli ternyata berbaloi selepas perniagaan yang diusahakan sejak 11 tahun lalu kini semakin berkembang.

Bagi Rozaidah Mohd Kasim,55, segala penat lelah yang dirasai selama ini ternyata berbaloi apabila produk jenama ‘Tok Bri’ yang dijual secara fizikal dan dalam talian mendapat sambutan memberangsangkan.

Katanya, tiga pes rendang yang dihasilkan iaitu pes rendang pedas, rendang hitam dan rendang tok menjadi pilihan pelanggan.

“Selain itu, dodol asli, pandan dan durian juga menjadi antara produk paling laris di pasaran kerana rasanya yang unik dan Insya Allah menepati selera pelanggan,” katanya ketika ditemui di Kuala Sungai Pinang, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak cabaran yang dihadapi tatkala mahu menstabilkan jenama yang dibawa.

“Persaingan memang hebat memandangkan ramai pengusaha lain turut menghasilkan pes masakan dan dodol.

“Selain itu, harga bahan mentah yang tidak menentu menyukarkan kami untuk mengekalkan harga produk yang dijual.

“Walau bagaimanapun, diakui kenaikan mendadak juga agak rumit kerana pelanggan boleh beralih kepada jenama lain yang menawarkan produk sama pada harga yang lebih rendah,” katanya.

Tambah Rozaidah lagi, tahun lalu syarikat mencatatkan keuntungan sebanyak RM96,000.

“Purata keuntungan bulanan adalah dalam lingkungan RM5,000 sehingga RM8,000 dan kita akan terus berusaha untuk mempelbagaikan promosi bagi mengukuhkan jenama Tok Bri.

“Tahun depan, saya merancang untuk mengeluarkan pes asam pedas dan pes sambal yang dapat memudahkan pembeli menyediakan hidangan dengan lebih pantas namun masih mengekalkan rasa asli masakan,” katanya.

Bagi memastikan kebersihan dan keselamatan serta mendapatkan keyakinan pengguna, Rozaidah sedang dalam proses untuk mendapatkan pensijilan Halal bagi kilangnya menerusi bantuan dan bimbingan latihan yang disediakan oleh Unit Pembangunan Usahawan AIM.

Sementara itu, Rozaidah berkata beliau bertuah kerana berpeluang bernaung sebagai Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak 11 tahun lalu.

“Sejujurnya, saya terharu kerana berjaya mengembangkan perniagaan dengan suntikan modal daripada AIM dan setakat ini, sebanyak sepuluh pinjaman telah dibuat menerusi organisasi terbabit.

“Sahabat akan dibimbing sehingga benar-benar stabil supaya perniagaan yang diusahakan lebih maju.

“Diharapkan AIM terus dapat menabur bakti sekali gus membantu usahawan yang mahu bermula dari bawah,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan dodol dan pes Tok Bri, bolehlah menghubungi Rozaidah di talian 019-5905334 atau boleh layari Facebook Dodol Tok Bri. – UTUSAN

The post AIM komited perkukuh kedudukan usahawan tempatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *