SEPANG: Syarikat penerbangan AirAsia menawarkan tambang penerbangan serendah RM199 bagi laluan Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Sabah dan Sarawak yang mula dibuka untuk tempahan hari ini.

Tawaran itu dibuat sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina bulan depan membabitkan penerbangan bermula 17 hingga 30 Januari 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd, Bo Lingam berkata, tawaran itu membabitkan laluan Kuala Lumpur ke  Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri dengan tambang RM199 sehala.

Beliau berkata, pihaknya juga menawarkan tambang sehala serendah RM249 bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu.

“Pada musim perayaan itu, kami akan mengendalikan 52 penerbangan tambahan ke enam destinasi popular di dua negeri itu selain 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi sama.

“Sebanyak 25,020 tempat duduk tambahan tersedia ke dua negeri itu bagi tempoh perayaan akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman tambahan penerbangan Air Asia sempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Majlis pengumuman tambahan penerbangan dan tambang istimewa itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Bo berkata, pihaknya sentiasa melakukan yang terbaik bagi meringankan beban penumpangnya biarpun berdepan pelbagai cabaran dalam operasi.

“Sejak dua tahun lalu, industri penerbangan tempatan berdepan situasi sukar dan walaupun ia semakin pulih namun, pihaknya tidak dapat menambah kekerapan penerbangan seperti sedia kala.

“Di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, pihaknya terus berusaha dan komited menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan datang. 

“Hari ini, kami berbesar hati kerana dapat mengumumkan penerbangan tambahan lewat malam istimewa pada tambang rendah tetap.

“Inisiatif ini tidak mungkin dapat dilancarkan tanpa dedikasi Allstars dan kerajaan atas bantuan mereka mendapatkan kelulusan untuk penerbangan tambahan lewat malam,” katanya.

Sementara itu, Anthony dalam ucapannya berkata, beliau berbesar hati kerana AirAsia terus komited menyokong inisiatif kerajaan menurunkan tambang penerbangan ketika musim perayaan, meskipun terdapat kekangan operasi. 

Katanya, beliau turut menggalakkan syarikat penerbangan lain untuk turut melancarkan inisiatif sama termasuk mengurangkan tambang penerbangan terutama ketika musim perayaan. – UTUSAN

The post AirAsia tambah kekerapan penerbangan sempena Tahun Baharu Cina appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *