JERLUN: Ahli UMNO tidak akan goyah dengan saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mereka mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti apabila Pengerusi PN itu didakwa masih berdendam dengan UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, ahli-ahli UMNO juga tidak akan menyahut ajakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu apatah lagi tiada cawangan parti ditutup kerana ahlinya menyertai parti lain selama ini.

“Perbuatan meminta ahli UMNO mengundi PN adalah retorik, mereka juga dari UMNO dulu. Ketika berada di pucuk pimpinan mereka sepatutnya bawa parti ke tahap lebih baik tetapi mereka tidak buat kerja pada waktu itu dan hari ini minta ahli UMNO undi mereka pula.

“Ahli UMNO tidak akan buat kerja itu kerana pada suatu ketika mereka (Bersatu) ada rasa dendam untuk menghapuskan dan mengharamkan UMNO melalui pelbagai tindakan termasuk melakukan pendakwaan terpilih dan membekukan aset serta kewangan UMNO,” katanya.

Othman yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jerlun berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan mesra bertemu penduduk di sini, hari ini.

Semalam, Muhyiddin meminta ahli UMNO yang tidak suka dengan apa dilakukan pemimpin tertinggi parti itu untuk mengundi calon PN tanpa perlu meninggalkan parti demi menyelamatkan negara.

Othman berkata, ahli UMNO tidak akan melakukan apa yang diminta Muhyiddin, sebaliknya beliau pula meminta semua ahli Bersatu dan rakyat negara ini mengundi calon-calon BN.

Menurut beliau, PRU15 adalah peluang terbaik kepada ahli mengembalikan maruah UMNO agar membolehkan parti itu membentuk kerajaan, sekali gus memastikan kestabilan negara.

“Mereka masih ada dendam yang belum padam, mereka mahu kuburkan UMNO, jadi senang mereka ambil ahli kita, tetapi itu tidak berlaku. UMNO setiap tahun masih boleh mengadakan persidangan peringkat bahagian dan cawangan dan Perhimpunan Agung masih boleh diadakan.

“Sebaliknya, kita melihat akan ada ramai ahli dan penyokong PN mengundi UMNO kerana mereka faham apa yang berlaku kepada PN sebelum ini. Dasar yang mereka buat sebelum ini menyebabkan negara terumbang ambing, politik tidak stabil dan ekonomi tergugat,” katanya. -UTUSAN

The post Ajakan Muhyiddin undi PN tak akan disambut ahli UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *