SAUDARA PENGARANG,

PROGRAM selepas sekolah adalah aktiviti dijalankan secara bersama dengan komuniti setempat yang menyediakan ruang dan peluang kepada kanak-kanak dan remaja untuk mendapatkan pembangunan sesuai terhadap penggayaan kognitif, kemahiran sosial, pergerakan fizikal dan keseimbangan dalam emosi sekali gus memberikan keupayaan dalam membuat keputusan dalam kehidupan seharian.

Program selepas sekolah telah lama dipraktikkan di kebanyakan negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat. Program ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mempelbagaikan kreativiti dan keupayaan dalam pelbagai bidang.

Aktiviti selepas sekolah tidak terhad kepada program hujung minggu semata-mata tetapi juga dijalankan selepas setiap kali tamat sesi persekolahan.

Selain sukan melalui aktiviti kelab, perkongsian aspek budaya juga merupakan salah satu perkara penting dalam aktiviti selepas sekolah yang menjurus kepada perkongsian dan persefahaman antara budaya masyarakat berbeza. Hormat menghormati perbezaan dan menghargai persamaan adalah salah satu sikap yang diterapkan dalam aktiviti ini.

Penglibatan secara langsung komuniti setempat adalah kunci kekuatan organisasi melalui kesedaran yang diwujudkan untuk memberi platform kepada mereka agar terus aktif.

Usaha ini juga dapat memberi ruang dan peluang agar semua peserta berupaya memahami budaya persekitaran yang positif, sesuai dengan matlamat menyediakan peluang kepada semua dengan penglibatan aktif khususnya semasa hujung minggu sebagai salah satu platform aktiviti nilai tambah kepada aktiviti sedia ada di sekolah.

Malah, aktiviti sebegini boleh mewujudkan kesedaran melalui elemen motivasi secara terus dengan ibu bapa atau keluarga dari kelompok keluarga miskin. Ini adalah salah satu cabaran yang harus dilakukan dengan merancang aktiviti sukan atau rekreasi secara percuma supaya bakat dan keupayaan mereka setanding dengan anak-anak yang datang dari keluarga berada.

Program juga tidak terhad pada aktiviti di peringkat negara bahkan dapat dilaksanakan di pentas antarabangsa.-UTUSAN

MOHD. NASIR ZAKARIA
Pengerusi Kelab The Musketeers

The post Aktiviti selepas sekolah bantu pelajar lebih kreatif appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *