SHAH ALAM: Penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) bersama Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) serta Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang membentuk Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Media dibantah alumni Mass Comm.

Bantahan dibuat Persatuan Alumni Mass Comm UiTM yang menyifatkan penggabungan tersebut seolah-olah melenyapkan nama besar graduan Mass Comm yang dikenali umum dalam industri sejak 50 tahun.

Malah, penggabungan itu juga disifatkan sebagai tidak berpadanan apabila ketiga-tiga fakulti berkenaan mempunyai aliran berlainan iaitu pengajian komunikasi dan media dalam bidang sains sosial sementara sains komputer pula adalah disiplin berbeza.

Presidennya, Basree Rakijan, berkata, 23,000 alumni UiTM dalam bidang berkenaan yang berada dalam industri sepatutnya dirujuk secara komprehensif, bukannya bertanya secara rawak kepada 300 orang untuk membentuk gabungan tersebut.

“Graduan Mass Comm adalah jenama besar sejak 50 tahun lalu dan mereka berada di mana-mana. Kita tidak pasti apakah bentuk soalan-soalan yang ditanya kepada mereka sebelum UiTM mengambil tindakan penggabungan dan menukar nama fakulti kepada kolej.

“Apa yang pasti jika alasan pihak UiTM menggabungkan kesemua fakulti untuk memudahkan perkongsian sumber ia adalah alasan yang tidak boleh diterima. Ini disebabkan perkongsian sumber ilmu boleh sahaja dilakukan tanpa perlu bergabung sebagaimana kami lakukan semasa belajar di ITM dahulu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Jelasnya lagi, UiTM sepatutnya memperkasa kurikulum pendidikan kursus komunikasi massa bukannya sekadar membuat perubahan bersifat kosmetik dengan menukar nama semata-mata.

Terdahulu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor mengumumkan penggabungan beberapa fakulti membentuk empat kolej pengajian seperti Kolej Pengajian Seni Kreatif yang menggabungkan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Fakulti Muzik (FM) dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA).

Turut digabungkan adalah, fakulti dalam bidang kejuruteraan seperti awam, mekanikal, kimia, elektrik yang membentuk Kolej Pengajian Kejuruteraan serta Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU) menjadi Kolej Alam Bina.

Tambah Basree lagi, satu perbincangan pernah diadakan bersama pengurusan UiTM pada Oktober lalu dan memaklumkan keputusannya akan dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun, tiada sebarang maklumbalas daripada UiTM selepas perbincangan tersebut hinggalah pihaknya menerima maklumat JPT pernah mengutus surat kepada UiTM untuk menyelesaikan isu penggabungan tersebut.

Justeru beliau mempertikaikan pengurusan UiTM yang tidak bertindak berdasarkan surat daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertarikh 1 November lalu yang mencadangkan penyelesaian penggabungan tersebut.

Bagaimanapun, Basree berpendapat, surat dari JPT tersebut sepatutnya segera diambil tindakan oleh UiTM dan pihaknya dimaklumkan, bukannya dibuat selepas sepucuk surat dihantar kepada UiTM pada 27 Disember lalu untuk mengetahui status bantahan penggabungan fakulti itu.

“Dalam surat bertarikh 1 November tersebut JPT mencadangkan dua penyelesaian isu penggabungan tersebut. Pertama, nama kolej tersebut ditukar menjadi Kolej Pengajian Media, Komunikasi, Pengkomputeran dan Informatik.

“Kedua, UiTM diarahkan melaksanakan penstrukturan semula bagi dua buah fakulti sahaja FSKM serta FPM. Sementara FKPM dikekalkan seperti sebelum ini. Namun sehingga kini tiada reaksi daripada pihak UiTM berhubung dua pilihan penyelesaian tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

BASREE Rakijan bersama alumni Mass Comm menunjukkan surat daripada JPT  pada sidang akhbar berhubung bantahan penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM bersama dua fakulti lain di Shah Alam, Selangor, hari ini. – UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS

 

The post Alumni Mass Comm UiTM bantah gabung fakulti lain appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *