KUANTAN: Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang akan bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Amanah Pahang, Zulkifli Mohamed berkata, bagi kerusi DUN, parti itu bertanding di Padang Tengku, Dong, Tahan, Pulau Tawar, Beserah, Tanjung Lumpur, Lepar, Peramu Jaya, Bebar, Chenor, Kerdau, Jengka, Kuala Semantan, Pelangai, Guai dan Tioman. 

Jelasnya, jumlah itu membabitkan pertambahan lima kerusi DUN berbanding 11 pada PRU14.

“Untuk Parlimen, Amanah akan bertanding di Temerloh, Paya Besar, Maran dan Kuala Krau. Ia pertambahan tiga kerusi baru berbanding hanya Temerloh pada PRU14 lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Zulkifli berkata, Amanah Pahang hanya mengekalkan tiga muka lama di DUN Beserah, Tanjung Lumpur dan Jengka manakala lain-lain calon ditampilkan adalah muka baharu. 

“Kesemua calon kita kali ini terdiri daripada calon profesional dan korporat yang akan memberi tawaran terbaik kepada rakyat di negeri ini. 

“Kita optimis PH di Pahang akan menang banyak kerusi DUN pada PRU15 ini dan kita bantu Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

The post Amanah tanding 16 DUN, empat kerusi Parlimen Pahang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *