PARIT BUNTAR: Amanah yakin mempertahankan kemenangan 11 kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, malah berdasarkan gelombang sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) ketika ini, beliau yakin kerusi Parlimen yang dimenangi Amanah akan meningkat pada PRU15.

“Dengan berlakunya kebangkitan gelombang sokongan terhadap Anwar Ibrahim ketika ini, sudah tentu Amanah dapat menambah kerusi untuk dimenangi pada hari mengundi 19 November ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Pusat Gerakan Induk PH Parit Buntar di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya pendirian Amanah jika PH mengadakan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas PRU15 seperti yang hangat diperkatakan ketika ini,  penyandang kerusi Parlimen Parit Buntar itu berkata, perkara itu hanyalah teori.

“Sukar untuk saya jawab soalan itu kerana ia hanyalah teori. Bagi saya teori itu tidak perlu dijawab atau dilayan tetapi yang perlu dilayan pada masa ini ialah bagaimana kami nak beroleh kemenangan besar ketika gelombang sokongan yang kuat terhadap Anwar pada PRU15.

“Bagi Amanah, apa yang penting sekarang ialah memberi tumpuan dalam gerak kerja PRU15  supaya PH boleh memenangi kerusi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau sudah mengisytiharkan asetnya yang bernilai RM2.5 juta bagi menyahut seruan Anwar yang menggesa semua pemimpin parti itu mengikut langkahnya mengisytiharkan harta.

Pada PRU15, di Parlimen Parit Buntar, Mujahid berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Imran Mohd Yusof; Mohd Misbahul Munir Masduki (PN) dan Rojinas Md Sharif (Pejuang).

Pada PRU14, Mujahid menang 3,098 undi majoriti mengalahkan Abdul Puhat Mat Nayan (BN) dan Ahmad Azhar Sharin (Pas). – UTUSAN

The post Amanah yakin menang lebih banyak kerusi Parlimen appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *