PETALING JAYA: Penduduk di lokasi berisiko banjir perlu lebih peka serta memanfaatkan maklumat berkaitan dalam menghadapi kemungkinan berlaku banjir di penempatan masing-masing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nad­ma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, orang ramai tidak boleh bergantung kepada sistem amaran awal (EWS) semata-mata dalam amaran banjir.

Katanya, pelbagai kaedah dilaksanakan kerajaan bagi memastikan orang ramai terutamanya di kawasan berisiko mengetahui perkembangan semasa situasi banjir.

“Sistem amaran banjir bukan hanya EWS, terdapat juga lain-lain amaran seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), makluman daripada Jabatan Meteorologi Malaysia serta melalui tele­visyen.

“Apa yang penting adalah penge­tahuan tempatan penduduk di mana apabila hujan dua hingga tiga hari tidak berhenti, nampak air naik maka itu merupakan amaran awal kepada mereka.

“Orang ramai perlu sentiasa peka dengan kea­daan sekeli­ling terutamanya semasa musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan penduduk di Kampung La, Hulu Besut, Terengganu bahawa EWS yang dipasang gagal berfungsi dalam kejadian banjir di kawasan itu pada 18 Disember lalu.

Menurut Khairul Shahril, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merupakan pihak yang bertanggungjawab menyelengara dan memantau sistem amaran banjir termasuk EWS.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, banjir buruk di empat buah ne­geri sememangnya telah dijangka selain antara lokasi panas dikenal pasti agensi berke­naan.

Katanya, banjir buruk terutama di Terengganu dan Kelantan sememangnya dijangka akibat daripada luruan monsun yang membawa taburan hujan yang sangat tinggi.

“Contohnya di Terengganu dan Kelantan, kesemua tempat yang banjir adalah kawasan panas yang telah dikenal pasti kecuali di Pasir Puteh.

“Selain itu, seramai 5,600 anggota dan pegawai bomba di empat negeri akan kekal bersiap siaga sehingga 15 Januari ini bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di tempat-tempat dikenal pasti,” katanya. – UTUSAN

The post Amaran banjir disebar pelbagai cara, bukan hanya EWS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *