NEW YORK: Amazon.com merancang memberhentikan lebih 10,000 pekerja dalam sektor korporat dan teknologi minggu ini sekaligus mencatatkan pengurangan kakitangan terbesar dalam sejarah syarikat itu.

Jumlah tersebut mewakili kira-kira 3 peratus daripada kakitangan korporat Amazon namun bilangan tepat mungkin berbeza apabila perniagaan dalam Amazon menyemak keutamaan mereka.

Peruncit dalam talian itu merancang untuk mengurangkan  pekerja dalam organisasi perantinya yang menghasilkan alat kawalan suara Alexa dan kamera keselamatan rumah serta bahagian sumber manusia dan runcitnya.

Bagaimanapun jangka masa untuk Amazon memaklumkan kakitangannya mengenai pengurangan pekerja berskala besar itu masih tidak diketahui.

Menurut sumber, pengurangan itu disebabkan persekitaran makroekonomi yang tidak menentu yang dihadapi oleh Amazon dan syarikat lain.

Minggu lalu, syarikat induk Facebook, Meta Platforms Inc mengumumkan akan mengurangkan lebih 11,000 pekerjaan, atau 13 peratus daripada tenaga kerjanya, untuk mengekang kos.

Amazon yang berpangkalan di Seattle turut meramalkan kelembapan dalam pertumbuhan jualan untuk musim cuti yang biasanya menguntungkan.

Ketua Pegawai Kewangan Amazon, Brian Olsavsky berkata, syarikat itu melihat tanda-tanda belanjawan isi rumah yang lebih ketat untuk membeli-belah, dan syarikat itu terus bergelut dengan inflasi yang tinggi dan kos tenaga.

Tambah beliau, syarikat itu akan membekukan pengambilan pekerja korporat tambahan selama beberapa bulan.

Menurut laporan Wall Street Journal, unit peranti Amazon dalam beberapa tahun kebelakangan ini mencatatkan kerugian operasi tahunan lebih  AS$5 bilion (RM22.7 bilion).

Syarikat itu juga sedang menimbang untuk meneruskan tumpuan kepada keupayaan baharu Alexa apabila sesetengah pelanggan hanya menggunakan pembantu suara untuk beberapa tugas sahaja.

Jika mengambil kira kaitangan gudang dan pengangkutan, Amazon mempunyai lebih 1.5 juta pekerja dan pengurangan yang dirancang mewakili kurang daripada satu peratus jumlah keseluruhan tenaga kerjanya.

Saham Amazon kehilangan lebih daripada 40 peratus nilainya tahun ini dan mencatat penurunan 1.1 peratus kepada AS$99.67 (RM453) pada petang kelmarin.-REUTERS

The post Amazon.com bakal berhentikan 10,000 pekerja appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *