IPOH: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah (BN) mengakui ada pihak cuba menyebarkan fitnah dan cuba menjatuhkan beliau ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung.

Bagaimanapun, Aminuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tambun enggan mengendahkan tohmahan itu walaupun ia diakui sedikit mengganggu fokusnya pada pilihan raya kali ini.

“Sedikit sebanyak ada juga (ganggu tumpuan), tapi bila fikir semula sampai bila rakyat mahu disajikan dengan cerita begini?

“Kalau saya melakukan kesalahan, lapor kepada polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), tiada masalah pun. Kenapa mahu reka cerita kononnya saya dan Datuk Seri Saarani (Menteri Besar) terlibat dengan penjualan tanah kubur? 

“Tanah kubur itu rizab wakaf, siapa yang boleh jual?,” katanya ketika ditemui selepas bertemu penduduk di Kampung Baru Tanah Hitam, Chemor di sini semalam.

Aminuddin berkata, beliau akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada peguam berhubung tindakan lanjut berkaitan penyebaran fitnah itu.

Katanya, beliau bukan sahaja mengenali individu yang bertanggungjawab malah mengetahui ia disebarkan mewakili pihak mana.

“Kenapa? Takut dengan saya ke? Saya tahu dia buat untuk siapa. Saya ini budak kecil, tapi mereka lain. Tapi tidak apa, mereka buat cara mereka, saya tidak peduli,” katanya.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata, kempen politik secara matang perlu diamalkan setiap calon berbanding menggunakan pendekatan memburukkan pihak lawan.

“Kita ini negara demokrasi, kalau mahu pilih politik yang nak benci sana benci sini, akhirnya yang jadi mangsa adalah rakyat. 

“Bagi saya kita perlu berubah, macam mana mahu menarik minat pengundi muda, kalau kita berpolitik dengan cara memburukkan orang, sedangkan kita patut memberi tawaran kepada mereka, kalau parti kita naik kita buat apa.

“Saya ini anak Tambun, saya tawarkan diri sebagai calon dan kalau menang saya mahu beri perkhidmatan kepada orang Tambun. Itu sahaja,” katanya.

Parlimen Tambun menyaksikan persaingan empat penjuru di mana Aminuddin akan berhadapan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Abdul Rahim Tahir (GTA) dan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perikatan Nasional). – UTUSAN

The post Aminuddin enggan hirau pihak guna fitnah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *