HAMPIR sembilan tahun mendirikan rumah tangga, pelakon, Izzue Islam sebenarnya sudah lali dengan soalan tentang anak.

Melewati usia 32 tahun, jujur kata Izzue, dia tidak pernah terasa hati selagi pertanyaan tersebut bukan berbentuk sindiran.

“Ketika awal perkahwinan, saya memang rimas kalau orang asyik bertanya mengenai anak. Saya respons mengikut intonasi pertanyaan, apakah mereka betul-betul bertanya atau mahu menyindir.

“Daripada marah, lebih baik saya beredar. Kalau sekadar bersembang, saya jawab sahaja. Tiada masalah kerana saya dan isteri akur, belum rezeki untuk menimang cahaya mata,” katanya.

Ditanya sama ada pernah membuat pertimbangan untuk mengambil anak angkat, pelakon asal Kota Bharu, Kelantan ini mengakui, pernah memikirkan perkara tersebut.

Namun, dia enggan menanggung risiko kerana bimbang tidak mampu melunaskan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik.

Atas alasan itu, Izzue dan isteri, Awin Nurin terpaksa menangguhkan dahulu hasrat tersebut.

“Saya pernah berbincang dengan Awin mengenai perkara ini. Namun, apabila difikirkan balik, saya jadi risau sebab takut anak terabai dan tidak mampu memberi kasih sayang sepenuhnya.

“Jadual kerja saya pula tidak menentu dan bimbang kalau dibawa ke hulu dan ke hilir, nanti jatuh sakit dan akan membebankan banyak pihak,” kongsinya.

Izzue beruntung kerana memiliki ahli keluarga yang begitu memahami karier dan kehidupan peribadinya.

Katanya, baik keluarga sendiri mahupun mentua, mereka tidak pernah membangkitkan soal anak.

Mereka katanya, sentiasa memahami dan tidak mendesak untuk segera memiliki cahaya mata.

“Ahli keluarga tidak pernah bertanya tentang pengambilan anak angkat. Lagipun, saya ada anak saudara yang ramai, jadi mereka tidak pernah bertanya perkara itu dan faham situasi kami,” jelasnya.

Secara jujur, kata Izzue, dia tidak sempat kesunyian, apatah lagi rutin hariannya sentiasa dipenuhi dengan komitmen kerja.

“Kalau orang cakap, anak adalah punca bahagia, kami pula mempunyai pendapat sendiri. Kebahagiaan itu boleh kita cipta, meskipun tanpa kehadiran cahaya mata.

“Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Cuma, sudah tentu ia akan menjadi lebih bermakna apabila dikurniakan anak.

“Ada juga yang memiliki ramai anak tetapi kehidupan porak-peranda, ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” jelasnya.

The post Anak bukan punca bahagia – Izzue Islam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *