TUMPAT: Tindakan pantas seorang anak meredah api berjaya menyelamatkan ibunya yang uzur daripada rentung dalam kejadian di Kampung Pak Jah, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.45 petang, Esah Harun, 85, berjaya diusung keluar oleh anaknya Mohd. Husin Yusof, 43, selepas rumah mereka terbakar.

Mohd. Husin berkata, kejadian itu disedarinya selepas terdengar bunyi letupan kecil dari arah ruang tamu rumah.

“Semasa kejadian, saya bersama mak berada di dalam bilik. Secara tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dan  terus keluar untuk membuat pemeriksaan.

“Alangkah terkejutnya saya,  apabila melihat api sudah marak membakar dinding rumah,” katanya ditemui di sinu hari ini.

Mohd. Husin memberitahu, cemas dengan situasi itu dia terus bertindak mengusung ibunya itu membawa keluar ke tempat selamat sambil dibantu oleh ahli keluarga lain.

Katanya, di bersyukur kerana kebakaran itu tidak melibatkan kemalangan jiwa, namun terkilan harta benda termasuk sebuah motosikal tidak sempat diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Mohd. Rafain Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.59 petant sebelum seramai 15 anggota Balai Bomba dan  Penyelamat Tumpat dan Wakaf Bharu di sini bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.27 petang dan rumah mangsa musnah kira-kira 95 peratus. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN

The post Anak usung ibu, redah api selamatkan diri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *