KUANTAN: Sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir dalam operasi menyelamat dirempuh kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 244.1 Lebuh Raya Pantai Timur Hala Barat dekat sini, awal pagi tadi.

Kejadian tersebut mengakibatkan seorang anggota dari jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu cedera ketika membantu mangsa dalam kemalangan di situ.

Penolong Pengarah JBPM negeri, Ismail Abdul Ghani berkata, kejadian itu menyebabkan empat mangsa termasuk anggota bomba cedera manakala seorang lagi mangsa cedera parah.

Menurutnya, sebelum itu pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Koordinasi Kecemasan Perubatan (MECC) meminta bantuan EMRS bomba memberikan rawatan awal dan menghantar mangsa kemalangan ke hospital.

“Kemalangan awal membabitkan sebuah kenderaan empat roda jenis Hilux dengan sebuah kereta Proton Saga dan hanya seorang mangsa cedera ringan dalam kejadian itu.

“Ketika pasukan EMRS bomba sedang membantu mangsa kemalangan terbabit, sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah lori satu tan nyaris melanggar kereta Proton Saga yang berada di tengah lebuh raya namun sempat mengelak.

“Namun datang sebuah lagi kereta jenis Kia Sorento melanggar kereta Proton Saga terbabit menyebabkannya berpusing sebelum merempuh pula lori serta jentera EMRS di tepi lebuh raya itu,” katanya.

Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan anggota bomba dan mangsa yang menerima rawatan awal tercampak ke hadapan ketika berada dalam EMRS.

“Mereka yang cedera dalam kemalangan tersebut, pemandu kereta Kia, pemandu Hilux, pemandu lori dan seorang anggota bomba. 

“Namun begitu semua mangsa sudah diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Dalam pada itu jentera EMRS bomba ditunda sebelum diambil oleh Bahagian Kejuruteraan Bomba Pahang di Plaza Tol Kuantan dan anggota terlibat dalam operasi diambil oleh pasukan EMRS Kuantan,” katanya. – UTUSAN

The post Anggota EMRS cedera kenderaan dirempuh di LPT appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *