NIBONG TEBAL: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa keangkuhan Barisan Nasional (BN) menyebabkan rakyat dibebani pelbagai masalah dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dapat berjalan lancar disebabkan bencana banjir.

Sehubungan itu, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkenaan, parti BN perlu ‘dihukum’ rakyat ketika mengundi pada 19 November ini.

Tambah beliau, isu bencana banjir telah dibincangkan secara mendalam dalam Mesyuarat Jemaah Menteri kerana kebarangkalian berlaku banjir amat tinggi akibat hujan lebat dan ribut yang melanda negara ketika ini.

“Hari ini terbukti apa yang telah kita putuskan dalam jemaah menteri adalah berdasarkan fakta dan maklumat agensi berkaitan supaya kita dapat mengelakkan daripada menyusahkan rakyat sekiranya PRU15 berlangsung ketika musim banjir.

“Namun, kedegilan dan keangkuhan UMNO (BN) telah menyebabkan Dewan Rakyat dibubarkan dan pengundi terpaksa menanggung akibatnya.

“Justeru, pada 19 November ini, pengundi mesti menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah menzalimi rakyat akibat situasi semasa hari ini,” katanya selepas berucap pada program Ceramah Perdana di Bandar Tasek Mutiara, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persediaan sempena PRU15 selepas beberapa kawasan di seluruh negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak semalam.

Program terbabit turut dihadiri Presiden Gerakan, Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff serta calon PN Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman. – UTUSAN

The post Angkuh mahu PRU15 musim banjir susahkan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *