KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia berharap kejadian mengugut pengamal media sebagaimana yang berlaku di sebuah restoran di Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan semalam tidak berulang pada masa akan datang.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pengamal media di negara ini diberikan layanan dan dihormati sebagai kelompok profesional bersesuaian dengan tugas yang mereka jalankan.

“Kita kena faham bahawa keluarga media mempunyai tugas yang dilakukan secara profesional. Apabila turun ke medan, mereka tentunya perlu berjumpa dan menemuramah orang ramai di kawasan berkenaan.

“Kadangkala mereka juga perlu menghadirkan diri ke majlis-majlis yang kadang-kadang ‘hostile’ sehingga menyebabkan mereka ditolak dan sebagainya,” katanya selepas diminta mengulas dua tindakan lelaki dalam keadaan mabuk telah mengugut wartawan semasa ditemui pada Sambutan Ulangtahun 10 Tahun TRW Treble 2012 di sini hari ini.

Annuar memberitahu, masyarakat di negara ini lebih terbuka dan lebih memahami peranan pengamal media yang perlu diberikan penghormatan kerana tugas membuat laporan serta pemberitaan adalah untuk semua pihak.

Katanya,  perlakuaan melibatkan kekasaran seperti membaling botol, mengugut dan sebagainya ke atas pengamal media tidak baik sama sekali.

“Mereka buat laporan dan pemberitaan bukan hanya untuk pihak-pihak yang berminat untuk mendapat publisiti tetapi untuk semua orang yang mahu mendapatkan maklumat.

“Terdapat saluran tertentu yang boleh digunakan sekiranya ada pihak berasa tidak senang dengan kehadiran pengamal media tetapi jangan sesekali mengganggu tugas mereka,” ujarnya.

Annuar berkata, semua wartawan dan pengamal media adalah profesional dan mempunyai etika tersendiri serta bukan sampah turun ke lapangan untuk bersuka-suka.

“Jangan ganggu tugas mereka apatah lagi mengancam keselamatan dan melakukan perbuatan menyalahi undang-undang terhadap pengamal-pengamal media,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, dua orang wartawan sebuah portal berita yang sedang membuat liputan pilihan raya calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rasah diugut dua lelaki dalam keadaan mabuk di sebuah restoran di Taman Seremban Jaya.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, mereka diugut supaya tidak membuat liputan media di situ sebelum salah seorang daripada wartawan ditolak, dibaling gelas, dibaling botol arak dan kasut. –UTUSAN

The post Annuar harap kejadian ugut pengamal media tidak berulang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *